Pages

Sabtu, 16 Ogos 2008

Dimanakah Kita?......

Alangkah bahagianya hidup ini andaikata Islam menjadi teras di dalam setiap dada individu di atas muka bumi ini. Memahami Islam secara menyeliputi seluruh kehidupan dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Hal ini menjadi lebih tergilap lagi apabila setiap individu ini menjiwai peranan masing-masing sepertimana jiwa generasi pertama Islam; hasil pentarbiahan terus daripada Rasulul Amin s.a.w. Jiwa-jiwa yang lahir adalah bukan semata-mata Islam berada di dalam diri mereka, tetapi pada masa yang sama boleh memancarkan cahaya Rabbaniyyah Islam ini ke seluruh pelusuk dunia ini. Kalau bukan kerana jiwa-jiwa seperti inilah, Islam tidak akan sampai di Nusantara, di China, di Australia, di Antartika dan seluruh dunia. Inilah jiwa-jiwa yang digelar Ansarullah.

Saidina Umar pernah berkata, “Barangsiapa yang mengucapkan kalimah Lailahaillah, maka dia adalah seorang daie”. Inilah asas yang perlu kita hadam sebenarnya. Perlunya setiap diri kita berperanan sedemikian. Apapun, berdakwahlah atas dasar kemampuan masing-masing walaupun sekadar sepotong ayat sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasul Al-Amin sendiri, “Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat”.

Tetapi rata-rata masyarakat hari (saya fokuskan generasi muda), semasa berada di sekolah atau semasa di alam kampus, bukan main lagi, aktif dalam gerakan Islam ini, tetapi apabila berkecimpung di dalam masyarakat, jiran tetanggapun tidak merasai nikmat Islam itu sendiri, keluarga sendiri dan apatah lagi masyarakat sekitar. Kalau sebelum ini, bukan main dengan usrahnya, ceramah, tazkirahnya, risalah dan lain-lain, tetapi semua itu hanya tinggal sebagai kenangan apabila mendepani ruang lingkup sosial yang sebenarnya.

KITA DIMANA……
Apabila kita mengimbau balik sejarah pelopor-pelopor pembaharuan Islam terdahulu, sebenarnya pendekatan mereka adalah berbeza bergantung kepada situasi masyarakat semasa. Sebagai contohnya :


Sheikh Muhammad Ahmad Al-Madi (r.h) dari Sudan, menjadikan jihad dan berperang menghadapi musuh dan penjajah adalah wadah utama perjuangan bilamana situasi umat Islam dan Negara Sudan sendiri dijajah. Maka sebab itulah, sheikh ini mendidik anak-anak muridnya dengan tarbiyyah jihadiyyah dalam memperkuatkan fizikal, mental dan ketahanan jiwa



Sayyid Jamaluddin Al-Afghani (r.h)- Agenda utamanya ialah membangkitkan kesedaran dan membakar semangat umat Islam dalam menghadapi arus penjajahan Barat. Menggunakan risalah, majalah dalam memotivasikan dan menggerakkan momentum perjuangan umat Islam yang dibelenggu penjajahan.



Imam Muhammad Abduh (r.h) – Agenda perjuangannya ialah membebaskan pemikiran dan akal orang Islam daripada pengaruh kongkongan dan taqlid serta mengembalikannya kepada sumber-sumber ajaran Islam yang murni. Ini dikaitkan dengan perpecahan dan ketidakfahaman dengan rahmatnya ikhtilaf. Beliau juga bertindak sebagai penentang kezaliman, berani kerana benar apabila melibatkan kerajaan, rakyat dan Islam.



Imam Hassan Al-Banna (r.h) - Perjuangan utamanya ialah memperbetulkan kefahaman Islam ke dalam setiap jiwa umat Islam pada masa itu daripada anasir-anasir orientalis dan dan golongan sekular. Membawa gelombang Islam adalah bersifat menyeluruh meliputi semua aspek kehidupan termasuklah ekonomi, perundangan, politik, cara hidup dan sebagainya. Beliau juga banyak terlibat dalam penyatuan ummat bilamana berlakunya pertembungan khilafiyah furu’iyyah dan membawa gelombang rahmatnya ikhtilaf.






Imam Sayyid Abul Ala Al-Maududi (r.h) - Perjuangannya memerangi jahiliyyah moden dan beriltizam dalam mengembalikan manusia kepada agama yang menyeluruh dan lengkap. Membawa gelombang perlunya taat kepada Allah sahaja dalam setiap perkara dan menolak ketuanan manusia yang menyalahi agama.






Al-Syahid Sayyid Qutb (r.h) – Perjuangannya adalah terfokus kepada memperbetulkan akidah umat manusia. Bilamana persoalan akidah dapat diselesaikan dan difahami dengan sebaik-baiknya, sudah semestinya bahagianya hidup ini. Beliau cuba memahamkan masyarakat tentang ketuanan Allah di atas muka bumi ini. Beliau sempat mewariskan kitab yang agung iaitu ”Fizilalil Quran” yang banyak menekankan aspek ini.







KITA....... – Cuba kita selidiki diri kita ini dan masyarakat sekeliling. Apakah pendekatan yang bersesuaian untuk kita pasarkan Islam ini di dalam masyarakat hari ini. Kita yang masih berada di alam sekolah, di alam kampus, di alam pekerjaan dan bermasyarakat. Kita sendirilah yang menilai masing-masing... Adakah pembetulan akidah, penyedaran syariah, kefahaman politik Islam, pengamalan ekonomi Islam dan sebagainya. Semuanya terpulang pada diri kita bersama.........