Pages

Isnin, 1 Ogos 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan




Alhamdulillah, bersyukur kita sebanyak-banyaknya kepada Allahu Rabbul Jalil kerana mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan ini, bulan yang penuh dengan segala keberkatan dan kemuliaan. Bulan paling istimewa yang hanya dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w., tidak diberi kepada umat Nabi Adam, Nabi Ibrahim, hatta kepada Nabi Isa a.s sekalipun. Maka rebutlah peluang yang ada ini untuk mengambil seberapa banyak manfaat yang ada padanya. Beruntunglah orang-orang yang apabila datangnya bulan Ramadhan ini, bertambahlah iman dan amal mereka; mencapai kepada matlamat puasa itu sendiri iaitu memperoleh darjat sebagai orang bertaqwa sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam Al-Quran yang mulia. Dan rugilah bagi orang-orang yang tidak ada apa-apa pun yang berubah apabila berkunjungnya Ramadhan ini, sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, seolah-olah tiada apa pun yang berlaku. Dari segi amal dan amal perbuatan mereka;sama sahaja. Dan teramatlah rugi orang-orang yang amal mereka pada bulan puasa ini, semakin teruk dan lebih teruk daripada bulan-bulan yang lain. Maka apalah gunanya kehadiran bulan Ramdhan ini kepada mereka.
Rasul s.a.w. pernah bersabda apabila datangnya bulan Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, manakala syaitan-syaitan akan dipenjarakan. Tetapi apabila kita merenung dalam masyarakat kita, tidakkah kita merasa hairan dan pelik, masih banyak lagi orang yang melakukan kemungkaran dalam bulan puasa ini walaupun syaitan telah diikat. Itulah persoalannya. Sebenarnya kita sedia maklum bahawa dalam diri kita ini ada nafsu tersendiri. Kalaulah nafsu kita ini telah dididik oleh syaitan sekian lama, 11 bulan yang lepas, maka kita akan terus terdidik seumpama itu juga walaupun berada dalam bulan puasa sekalipun. Kalau kita sebelum ini suka mencuri sebagai contohnya, maka bulan puasa pun kita rasa hendak mencuri juga. Begitulah juga untuk perbuatan-perbuatan yang lain.
Oleh sebab itu, kuatkanlah diri kita bersempena Ramadhan ini. Cubalah didik diri kita dan nafsu kita ini agar kembali kepada pangkuan ajaran Islam yang sebenar. Kalaulah sebelum ini kita suka mendedahkan aurat, cubalah perbaiki. Mudah-mudahan perubahan kita dalam bulan Ramadhan kali ini memberi impak yang begitu besar kepada kita. Manalah tahu kita kembali kepada Allah pada suatu hari nanti dengan penuh berseri-seri dan kegembiraan hasil usaha penat kita dalam bulan ini. Ambillah peluang yang diberi ini dengan sebaik-baiknya sebelum masa terlambat dan menyebabkan kita akan menyesal selama-lamanya pada masa tersebut. Wallahua’lam.