Pages

Khamis, 14 Julai 2011

Lamenye tak update blog.. sibuk sikit...

Ahad, 6 Februari 2011

Solat Diabaikan

Suatu ketika dulu, ku pernah terbaca beberapa kajian berkaitan orang yang tidak mengerjakan solat. Dikatakan hampir 70% rakyat Malaysia yang ada pada hari ini mengabaikan kewajiban solat 5 waktu setiap hari. Ku rasa agak terkejut, dan kadang-kadang ku merasakan fakta itu tidak benar sama sekali.
Tetapi apabila ku menyelami masyarakat, barulah ku akui ada kebenarannya. Masakan tidak, rakan sekuliah, rakan sepermainan, rakan sekerja dan kenalan-kenalan yang rapat, rata-ratanya tidak melaksanakan solat. Roomateku dulu pun sama. Adoi.. Puas ku untuk memujuknya.erm..

Dalam 2 bulan yang lepas, ku berkesempatan menghadiri 1 kem. Semasa di sana, ku ditempatkan dalam sebuah chalet. Ku berkongsi dengan 2 orang. Seorang umurnya lebih tua dariku hampir 4 tahun dan seorang lagi sudah setahun untuk bersara serta bergelar haji. Sepanjang 3 malam bersama, ku cuba mengamati kedua-dua mereka ini. Tidak nampak bilakah mereka bersolat. “Mungkin mereka solat jamak,”fikirku. Pada setiap pagi, ku bangun awal sebelum subuh lagi, kemudian ku solat subuh, termenung sehinggalah matahari memancar dan masuk solat Dhuha. Ku sempat juga solat Dhuha. Tetapi ahli chalet ku ini tidak bangun pun untuk solat, bangun untuk tarik selimut, pergi tandas itu sahaja ada lah. Termenung ku.”Ai takkan Subuh jamak jugak kot, susahnya, bagaimanalah hendak tegur orang yang lebih tua ni, kena rancang dengan hikmah ni,..erm”.

Agak mustahil kalau masyarakat hari ini tidak mengetahui tentang kewajipan solat ini. Masakan tidaknya, subjek pendidikan Islam diajar di sekolah, kelas fardhu ain, kuliah-kuliah agama banyak di masjid-masjid, surau-surau, di radio dan di tv sekalipun.. Buku-buku agama bertaburan di mana-mana…
“Ya Allah ya tuhanku, bukakanlah hati mereka-mereka yang meninggalkan solat untuk melaksanakan kewajipan ini ya Allah”

Tidakkah mereka tahu bahawa sesungguhnya solat adalah amalan yang wajib dilakukan oleh setiap yang bergelar muslim. Tidak dapat tidak walaupun uzur macam mana sekalipun, solat mesti dilaksanakan. Dalam Al-Quran sendiri ada dijelaskan :
“Maka dirikanlah solat(sebaik-baiknya). Sesungguhnya solat itu kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”.[An-Nisa’;103]

Bukankah solat ini adalah tiang agama. Tertegaknya agama dalam diri seseorang itu dengan tertegaknya solat dalam dirinya. Kalaulah diibaratkan rumah, jika tidak ada tiang, tiadalah terbinanya rumah tersebut sekalipun ada papan, atap bumbung, pintu dan sebagainya. Begitulah juga amalan kita. Tiadalah bergunanya amal kebaikan yang kita buat sekalipun bina masjid, derma kepada anak-anak yatim dan sebagainya, tetapi pada masa yang sama, tidak melakukan solat. Sia-sia sahaja amalan tersebut.
Solat juga adalah pembeza antara orang Islam dengan orang bukan Islam. 

Sebagaimana yang dikhabarkan oleh junjungan kita Rasul s.a.w. :
“Beza antara seseorang dengan syirik serta kufur ialah meninggalkan solat”

Maka sebab itulah, sama-samalah kita berpesan-pesan antara ahli keluarga kita dan ahli masyarakat sekeliling kita akan perlunya solat 5 waktu ini. Macam manalah untuk kita bina individu muslim, rumahtangga muslim dan masyarakat serta Negara Is
lam kalaulah solat, amalan asas ini pun masih lagi diabai-abaikan. Sama-samalah kita berusaha menyedarkan ummah ini…

Selasa, 1 Februari 2011

Orang Mole


WASHINGTON — Weekly World News telah mendedahkan tentang penemuan mengejutkan mengenai satu kaum primitif yang di panggil Mole People hidup 20 batu di bawah tanah, menggunakan terowong rahsia untuk memasuki United States! Penemuan ini telah dibuat bukan oleh ahli kaji purba, tetapi oleh saintis NASA yang menggali jauh ke dalam Bumi – dan mereka cuba menyembunyikan kewujudan kaum ini dari pengetahuan awam.. Seorang pekerja NASA yang tidak mahu dikenali telah mendedahkan gambar-gambar eksklusif and informasi mengenai kaum ‘orang gua’ ini.
“Cerita ini harus diberitahu,” kata sumber itu. “Ia terlalu besar untuk disorok”. Sumber itu telah mendedahkan beberapa rahsia besar mengenai Mole People. “Nampaknyer mereka seperti kaum yang peramah”, beliau berkata, “Tetapi mereka amat primitif. Kami cuba berkomunikasi dengan mereka, tetapi ia satu kerja yang susah memandangkan mereka tidak tahu bahasa English”. “Mole People, sebagaimana yang kami panggil, mempunyai laluan senang untuk ke muka Bumi (surface world)”, kata sumber itu.
“Tersilap langkah boleh mengakibatkan makhluk ini mengisytiharkan perang dengan manusia di atas. Kami tidak pasti berapa jumlah mereka ini. Kami baru melihat satu bandar setakat ini, dengan anggaran 2000 orang Mole tinggai di situ. “Tetapi ada pihak yang menyatakan bahawa mungkin berjuta-juta orang Mole tinggal merata-rata di dalam bandar-bandar bawah tanah, berselerak di bawah muka Bumi”.
Makhluk itu mempunyai beberapa persamaan dengan manusia – dan juga sedikit perbezaan. “Seperti kita, mereka berjalan dengan dua kaki, tetapi mereka jauh lebih tinggi dari manusia biasa – setinggi 8 ke 10 kaki tinggi. Jari-jari mereka seperti kuku binatang. Dan tangan mereka juga seperti kaki itik (webbed), direka untuk menggali, bukan seperti kuku mole”
“Kulit mereka sangat kuat. Ia adalah untuk menahan panas yang melampau dan juga keadaan yang teruk di bawah Bumi”. “Didapati bahawa terdapat perhubungan dan interaksi di antara manusia dengan makhluk ini suatu ketika dahulu – mereka bercakap di dalam bahasa yang hampir sama dengan dialek Navajo Lama.
Sumber itu juga menyatakan bahawa kaum Mole ini mempunyai sistem otot-otot yang sangat besar, membuatkan mereka mampu bertindak ganas. “Apabila salah seorang ahli ekspedisi itu menyalakan rokok, kaum Mole menganggap itu sebagai satu ancaman dan terus menyerang beliau”.
“Mereka mencakar dan menyerang beliau seperti kucing hutan, hampir menjatuhkan beliau bersama rokoknya. Beliau amat bertuah selamat dan hidup dari insiden itu”. Kaum Mole amat berminat dengan dunia atas muka Bumi – pakaian, alat-alatan dan makanan terutamanya. Mereka amat meminati buah-buahan segar.
“Saya belikan mereka sedikit anggur, dan mereka terus berpesta dan bersukaria”, mengikut kata sumber.“Amat jelas mereka tidak boleh menanam buah-buahan mereka sendiri memandangkan mereka tinggal 20 batu di bawah muka Bumi”. NASA amat berminat untuk mengkaji kaum Mole. “Kami mahu tahu segala-galanya mengenai mereka – apa yang mereka makan,bagaimana mereka tinggal dan yang paling mustahak, apakah perhubungan mereka dengan kaum manusia”.

“Kami tertanya-tanya jikalau mereka itu ada kaitan dengan manusia di dalam aspek-aspek yang tertentu. Adakah mereka adalah nenek moyang manusia moden hari ini secara genetiknya ?”
Pakar berkata terdapat spekulasi yang pelbagai mengenai kaum Mole.
“Mereka boleh jadi apa saja, dari Yetis (BigFoot), makhluk asing dari angkasa atau saki baki orang yang terselamat dari bandar Atlantis Yang Hilang. Pakar juga berkata penemuan ini telah menimbulkan beberapa tanda tanya.
Adakah makhluk itu musuh dan suka berperang ataupun peramah dan sanggup bekerjasama? Dan bagaimana dengan minyak dan simpanan mineral di bawah Bumi? Siapa yang memiliki mereka: kaum Mole atau kita? Bagaimanakah dengan NASA dimana misi asalnya adalah untuk meneroka ruang angkasa – telah menjumpai kaum yang hidup di bawah muka Bumi? Jurucakap NASA tidak menafikan mahupun mengiyakan laporan itu. Setelah menerima tekanan hebat dari wartawan, jurucakap White House menjanjikan informasi yang dibenarkan oleh White House untuk disebarkan. Teapi beliau telah memberi amaran “mungkin tidak untuk jangkamasa yang terdekat”. Menurut sumber itu, NASA menjumpai kaum bawah tanah itu dalam bulan Ogos ketika sedang menjalankan projek rahsia yang di beri nama Operation Mole Hole – satu inisiatif dimana wartawan sekarang percaya ia mungkin untuk mengintip China, menggunakan “teknologi bawah tanah”. Setakat ini NASA telah menjumpai pintu laluan rahsia ke dunia bawah tanah di kawasan sekitar Washington State’s Mount Shasta, gua Mammoth di Kentucky dan juga gua-gua yang berselerak sekitar barat daya U.S mengikut kata sumber. Berkurun lamanya manusia telah bercerita tentang kewujudan makhluk di bawah muka Bumi.
Sekarang, buat pertama kalinya, spekulasi itu telah dibuktikan kesahihannya. Tetapi samada makhluk-makhluk ini kawan ataupun lawan masih tidak diketahui.
~ Terjermahan bebas ke Bahasa Melayu.. Sumber asal “Derro Found Living Under The Earth“
Persoalannya, adakah perkhabaran ini betul? Jika betul, siapakah orang Mole ini? Adakah mereka itu adalah Yakjuj Makjuj yang dikhabarkan?erm.. kalaulah betul, maka kita semua ini perlulah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Yakjuj dan Makjuj ini ada dikaitkan dengan berlakunya hari Kehancuran dunia. Bermuhasabahlah dan bertaubatlah sementara masa yang ada ini sebelum pintu taubat ditutup seketat-ketatnya.. wassalam.

Isnin, 17 Januari 2011

Percaya Kepada Ramalan Masa Hadapan

Mungkin antara kita tidak menyedari bahawa sesungguhnya kita semua turut terlibat dalam persoalan ramalan masa hadapan. Adakah kita sebagai manusia yang lemah ini boleh membuat ramalan seumpama itu? Itulah yang menjadi persoalan dalam diri ini.

Kalaulah anda melihat di muka-muka akhbar, majalah, di tv dan sebagainya media massa dan elektronik yang lain, anda mungkin terperasan dengan perkataan horoskop, rahsia tarikh lahir dan sebagainya. Itu semuanya adalah merujuk kepada ramalan masa hadapan.

Mengetahui perkara ghaib adalah hak mutlak Allah S.W.T.. Antara firman-Nya


“ Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja”[al-An’aam 6:59]

“Katakanlah, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”[al-Naml 27:65]

Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan setelah dikhabarkan Allah kepadanya. Hal ini turut dirakamkan dalam Al-Quran:

“Katakanlah(wahai Muhammad):Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali yang apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan”[al-A’raf 7:188]

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya)”[al-Jin 72:26-27]


Maka berhati-hatilah dengan persoalan masa hadapan ini, boleh merosakkan akidah kita umat Islam.
Ada sesetengah orang mengatakan ramalan-ramalan tarikh lahir dan sebagainya adalah berkaitan kajian sains sosial, kajian tingkahlaku manusia. Mungkin betul, tetapi kalau kita merenung sejenak, sebagai contohnya ramalan orang yang lahir pada bulan Januari, kalaulah dikira seluruh dunia, agak-agaknya berapa trillion orang yang terbabit dengan bulan Januari ini. Adakah memadai jika diambil sampel seramai 10 orang atau 20 orang atau 1000 orang untuk mengesahkan teori itu betul untuk sejumlah orang yang lahir pada bulan Januari. Itu tidak termasuk manusia yang sudah meninggal 50 tahun yang lepas dan bakal lahir nanti. Persoalan yang perlu dirungkaikan.

Cuba kita merenung sejenap,orang yang lahir pada hari dan tarikh yang sama, bukankah ada berpuluh-puluh ribu orang. Adakah semua mereka itu mempunyai perangai dan kelakuan yang sama? Adakah orang yang lahir sama hari dan tarikh dengan Dr Mahathir, Dato’ Najib, Nik Aziz, Obama, dan tokoh-tokoh yang lain termasuklah tokoh-tokoh Islam seperti Saidina Umar, Abu Bakar dan Rasulullah sendiri mempunyai kelakuan dan perangai yang sama? Sejarah pun tidak dapat membuktikan teori ini.

Apabila dibuat ramalan berdasarkan tarikh lahir, sudah tentu akan ada senarai sifat positif dan negatif seseorang apabila diramalkan. Hal tersebut kurang menyenangkan perhubungan antara kita dan mewujudkan prasangka. Contohnya kita tidak kenal pun orang tu, kenal sekadar tengok ramalan tarikh lahir sahaja. Sudah tentu akan timbul prasangka tertentu di hati. Dia ni pemalas dan sebagainya. Adakah Islam mengajar perkara seumpama ini? Tidak. Bagaimana kalau kita ambil tarikh lahir Rasulullah s.a.w., sudah tentu kita akan dapat tahu sifat dan perangai Rasulullah s.a.w., ada positif dan ada juga negatif. Boleh ke macam tu? Mana boleh.

Ada juga jenis ramalan berkaitan kerjaya. Sebagai contohnya setelah dibuat ramalan, dikatakan kita tidak akan berjaya dalam sesuatu bidang, contohnya perniagaan. Perlu ke kita percaya, padahal dalam Islam menyuruh kita berusaha bersungguh-sungguh dan selepas itu berserah pada-Nya. Islam juga mengatakan 9/10 rezeki adalah daripada perniagaan. Yang mana pilihan kita. Secara lebih memahaminya ramalan seolah-olah mengatakan kita ini adalah ahli neraka,erm..baik tak payah berusaha, masuk neraka juga. Macam itukah pendirian dalam agama kita?

Saya pernah cuba mengkaji satu kaedah ramalan berdasarkan tarikh lahir. Kaedah ini menggunakan konsep matematik, ada tambah, tolak, bahagi dan dibuat dalam bentuk segitiga. Sebagai ahli matematik, apabila mengeluarkan sebarang teori, teori tersebut perlu dibuktikan dan dihuraikan. Kenapa tambah, tolak, buat dalam bentuk segitiga dan sebagainya, tidak boleh ke kalau dibuat dalam bentuk segiempat ke, darab ke dan sebagainya, dan kenapa perlu buat seumpama itu. Persoalan-persoalan seperti ini perlu dibuktikan, bukan semata-mata keluarkan teori sahaja. Oleh sebab itulah, kadang-kadang saya tercari-cari tulisan kajian mana-mana professor berkaitan. Sehingga hari ini, masih tidak ketemuan.

Kadang-kadang ada juga secara kebetulan betul apa yang diramalkan. Contohnya warna. Kita dikatakan suka pada warna hitam dan membenci warna putih. Kita sendiri akui benar pada diri kita. Walaubagaimanapun, Islam mengajar memakai pakaian putih adalah sunnah Rasul dan memakainya memperoleh pahala sunat. Maka suka atau tidak, itulah, cubalah paksa menyukai warna putih. Itulah Islam. Suka atau tidak, ikutlah tuntutan agama dan syariat. Janganlah mengikut sangat nafsu dan kesukaan kita. Islam merangkumi segala aspek kehidupan. Dalam persoalan perniagaan, politik, pendidikan, kepimpinan dan sebagainya, semua umat Islam perlu memikul bersama. Maka sebab itulah persoalan bersungguh-sungguh dan berjihad perlu ada dalam setiap urusan kita dalam dunia ini. Janganlah terpengaruh dengan unsur-unsur ramalan ini, merugikan umat Islam sahaja.

Maka sebab itulah tiada makna pun untuk kita mempercayai ramalan-ramalan seumpama ini, bukan sahaja merosakkan akidah kita, tetapi juga melemahkan umat Islam kita sendiri. . Kenapa kita tidak fokuskan pembangunan jatidiri yang lain.Itulah salah satu propaganda musuh-musuh Islam. Sehingga ke saat ini, hal seumpama ini masih lagi berterusan, siap dengan ceramah ke sana sini. Maka waspadalah…