Pages

Selasa, 4 Oktober 2011

Ma'thurat

Sudah lama ku tidak mencoretkan apa-apa dalam blog ini. Mungkin kekangan masa yang ada menyebabkan ku rasa agak berat untuk lakarkan beberapa rangkap perkataan di sini. Apapun memang tidak dinafikan perasaan malas tetap ada di mana-mana pun.Ku gagahi jua. Berdirinya ku sebagai seorang pendidik kadang-kadang banyak menguji kesabaran dan ketabahan jiwa ini dalam kita meraih hati-hati yang dambakan sinar petunjuk dari-Nya. Pagi tadi masa ku membelek-belek helaian ma’thurat satu demi satu, ku terfikir untuk berkongsi berkaitannya walaupun ku tahu bahawa sudah ramai antara kita ini mengetahui nilai erti ma’thurat di mata masing-masing.
Ma’thurat diambil daripada perkataan ma’thur iaitu apa-apa yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. Secara khususnya mathurat dirujuk kepada amalan zikir-zikir dan wirid-wirid yang bersumber kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya yang telah disusun kembali oleh Al-imam As-Syahid Hasan Al-Banna. Beliau adalah merupakan tokoh kebangkitan Islam dalam pasca selepas kejatuhan khalifah terakhir Islam, Uthmaniyyah. Sehingga hari ini methologi yang diperkenalkan beliau masih lagi diamalkan oleh ramai dikalangan para pendokong gerakan dakwah seluruh dunia serta digeruni dan ditakuti oleh musuh-musuh yang sentiasa menentang perjuangan Islam.
Antaranya sebagaiman yang disebut adalah mathurat. Sebagai pendokong usaha menegakkan Islam sebagai deen yang memerintah, kita seharusnya tidak boleh melupakan tanggungjawab untuk berzikir mengingati Allah swt sebanyak-banyaknya. Wirid inilah yang akan menjadi makanan rohani kepada kita setiap hari. Sebagaimana pentingnya makanan fizikal kita, maka begitulah juga makanan rohani. Berikut saya lampirkan beberapa kata As-syahid berkaitan mathurat:
  1. Zikir mengingati Allah sebenarnya perlu dilakukan pada setiap ketika, termasuklah di dalam perkara yang biasanya dianggap sebagai perkara duniawi. Seni mengaitkan amalan dunia yang dilihat tiada kaitan dengan ritual keagamaan, dengan mengingati Allah, adalah suatu seni yang perlu digilap oleh pendokong Islam.
  2. Beliau juga memperingatkan kepada ahli gerakan mengenai fadhilat zikir. Yang paling utama menurut beliau, ialah dengan mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, seterusnya membawa kepada nusrah dan ketenangan di dalam menggalas amanah dakwah.
  3. Adab berzikir turut ditekankan oleh beliau. Adab paling penting ialah menghadirkan kemanisan hati semasa berzikir, dengan memberikan fokus dan memikir falsafah pengertian zikir yang dilafaz lisan. Beliau turut menyatakan keutamaan merendahkan suara di dalam berzikir, dan juga menjaga kebersihan pakaian serta tempat ketika berzikir.
Mengikut pengamatan saya sebagai salah seorang pengamal perubatan Islam, memang mathurat ini banyak kelebihannya. Antaranya menjadi pendinding kepada diri kita daripada gangguan-gangguan syaitan. Dalam mathurat ini dipenuhi dengan doa-doa penghindar syaitan. Bagi orang yang telah kena rasuk dan sebagainya, memang saya akan galakkan mereka untuk menjadi pakaian amalan mereka setiap hari. Jika sekiranya dalam diri mereka masih lemah dan masih dikunjungi makhluk-makhluk itu, jika amalkan, makhluk tersebut akan merasa terseksa dalam diri pesakit dan lama kelamaan secara automatik akan tinggalkan diri pesakit.
Oleh sebab itulah, cubalah amalkan setiap pagi dan petang. Tidak semestinya berzikir ini perlu duduk bersila dan berjemaah, dalam keadaan berdiri,berjalan pun buleh, tiada masalah pun.Mudah-mudahan amalan ini menjadi motivasi dan pemangkin kepada kita agar kita sentiasa berada di jalan perjuangan menegakkan agama suci ini tidak kira dimana sahaja kita berada. Walau apa-apa pun pekerjaan kita, pastikan ada sumbangan ke arah meninggikan kalimah Allah dimuka bumi ini. Sejak jatuhnya khalifah Islam terakhir, maka umat Islam teraba-raba dalam kegelapan. Sistem kehidupan ini telah bercampuraduk antara haram dan halal. Islam sepatutnya memerintah, bukan diperintah. Maka sebab itulah menjadi peranan setiap individu muslim untuk mengembalikan kembali Negara Islam sebagaimana yang telah diasaskan oleh Rasullulah s.a.w.. Insya Allah.

0 ulasan: