Pages

Ahad, 25 Ogos 2013

Lelaki Pakai Gelang dan Rantai?


Kalau kita perhatikan masyarakat sekeliling kita, sedar atau tidak masih ramai lagi dikalangan kita yang masih mengekalkan fahaman dan adat lama iaitu memakai gelang dan rantai. Yang saya khususkan di sini ialah yang melibatkan lelaki. Lelaki memakai gelang, memakai rantai. Itu yang cuba saya kupaskan di sini. Untuk yang melibatkan orang perempuan, memang tiada masalah. Asalkan gelang dan rantai bukan daripada najis dan benda-benda haram.

Perkara ini sebenarnya telah banyak diwarwarkan oleh ustaz-ustaz, dalam buku-buku, majalah, siri-siri ceramah, dalam tv juga ada, tetapi itulah. Kita tidak tahu kenapa masih kurang amalnya dalam masyarakat. Mungkin ada orang kata dia tidak tahu. Atau juga buat-buat tidak tahu. Entahlah. Susah juga untuk kita tafsirkan. Tetapi tidak apa. Kita hanya menyampaikan walaupun secebis peringatan. Mudah-mudahan ada kebaikan di situ.

Di sana juga ada dibincangkan berkaitan gelang yang dikatakan ada unsur perubatan iaitu bermagnet. Nanti kita cuba bincangkan.

Secara jujurnya saya melihat masyarakat Melayu Sarawak ini, masih ramai lagi yang memakai gelang dan rantai ini dikalangan orang lelaki. Kalau pergi masjid, kadang-kadang kita lihat agak pelik dengan pemakaian gelang dan rantai ini ke masjid. Ada juga yang duduk di belakang imam. Itu di masjid. Kalau di tempat-tempat lain, memang berlambak lagi.

Pada pandangan saya, orang Melayu Sarawak ini, meraka bergaul dengan agak luas. Rakan-rakan mereka banyak daripada yang non-muslim seperti kaum Iban dan lain-lain. Jadi mungkin di situlah mereka terikut-ikut dengan budaya rakan non-muslim mereka. Tambah lagi, mungkin juga mereka tidak tahu soal-soal seumpama ini. Maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menyampaikannya secara berhikmah.

Selain itu, ada banyak lagi perkara-perkara asas beragama yang perlu kita betulkan mereka ini sebelum kita berbicara soal-soal yang lain. Saya perhatikan masyarakat setempat saya, solatpun agak kelam kabut lagi.
Kembali kepada tajuk utama tadi, saya rujuk kepada beberapa sumber.

  • Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, katanya: 
“    Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yg menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yg menyerupai lelaki” —- Hadis riwayat al_Bukhari

Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa Rasullullah Shallallahu àlaihi wasallam melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. Laknat bermaksud jauh dari rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata:

Ertinya:

“Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan) antaranya ialah dengan memakai perhiasan yg khusus bagi mereka lagi lazim menjadi hak mereka spt memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya.’’

  •   Youtube Ustaz Azhar Idrus
Haram lelaki pakai gelang, rantai kerana termasuk dalam kategori pakaian perempuan walaupun bukan diperbuat daripada emas. Kecuali jika dharurat.


  •      Ustz Hj Kamal Bin Ismail
Sebagaimana kita semua sedia maklum, gelang adalah salah satu daripada perhiasan bagi wanita. Golongan lelaki dilarang keras daripada melakukan sebarang penyerupaan seperti wanita (tasyabbuh) sama ada penyerupaan dari segi cara berpakaian, cara bertutur, cara berjalan apatah lagi melakukan perubahan bentuk tubuh badan melalui pembedahan plastik dan seumpamanya. Begitu juga sebaliknya, wanita dilarang daripada menyerupai golongan lelaki. Perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki dikutuk dan dilaknat sekeras-kerasnya oleh Rasulullah SAW.

Yang berkaitan pemakaian gelang bermagnet yang dikatakan baik untuk kesihatan :
  •   Fatwa Negeri

Hukum Bagi Lelaki Memakai Gelang Magnet
Keputusan:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 30 Januari 2008 telah membincangkan mengenai Gelang Magnet. Mesyuarat memutuskan bahawa HARAM hukumnya ke atas lelaki yang memakai gelang tangan magnet kerana menyerupai perhiasan yang dikhususkan kepada golongan perempuan. Walau bagaimanapun harus jika memakai gelang magnet itu memberi manfaat kepada pemakainya dengan syarat diakui oleh doktor muslim atau doktor pakar bukan muslim yang dipercayai.

  • Ustaz Zamri Hashim, Ketua Penolong Mufti Negeri Perak

 Pemakaian gelang bermagnet yang dikatakan mempunyai unsur perubatan dan kini menjadi satu trend adalah harus sekiranya memenuhi empat syarat yang ditetapkan, iaitu :

1. Pemakai gelang bermagnet itu tidak beri'tiqad bahawa ia memberi kesan kerana yang memberi kesan adalah Allah SWT.

2) Pemakainya tidak berniat memakainya kerana menyerupai wanita dan bukan untuk bermegah-megah.

3) Gelang mesti terbukti mempunyai kesan saintifik dan secara klinikal mempunyai pengaruh terhadap pengaliran darah di dalam tubuh seperti didakwa oleh pakar yang berwibawa.

4) Tidak menimbulkan fitnah kepada pemakainya.Jika pemakaian gelang itu menimbulkan fitnah terhadap maruah si pemakai, lebih baik lelaki itu memakai baju berlengan panjang yang dapat menyembunyikan gelang berkenaan.



  •   Ustaz Ismail Kamus
Hukum memakai gelang bagi lelaki adalah haram kerana ia termasuk di dalam kategori menyerupai perhiasan wanita tetapi sekiranya pemakaian gelang tersebut dengan tujuan semata-mata perubatan, ianya adalah diharuskan. Keharusan hukum itu akan terhenti setelah penggunaan gelang tersebut sebagai alat pengubatan tidak diperlukan lagi atau apabila terbukti tidak memberikan apa-apa kesan kepada kesihatan tubuh badan pengguna.

Kesimpulan

  • Pemakaian gelang dan rantai dikalangan lelaki adalah HARAM kecuali dharurat dan jika berguna untuk kesihatan yang diperakui oleh doktor.






0 ulasan: