Pages

Isnin, 18 Jun 2012

Hati-hati Sepanjang Perjalanan



Alhamdulillah, sudah ramai antara kita ini sudah berkecimpung dalam bidang pembangunan insan ini; iaitu suatu bidang yang memerlukan semangat  juang yang tinggi dalam mengharungi ranjau berduri liku-liku perjuangan. Yang saya maksudkan di sini adalah bidang dakwah; mengajak manusia kembali pada  fitrahnya, mentaati suruhan pencipta_Nya sebagaimana yang telah dipelopori oleh para nabi dan rasul terdahulu. Memang itulah tugas mereka, dan apabila mereka sudah tiada, maka siapalah lagi yang diharapkan untuk menyambung perjuangan tersebut jika tidak diletakkan pada bahu kita semua ini. Sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam Al-Quran, kita inilah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia sejagat, untuk menyuruh ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Maka sebab itulah, galaslah tugas ini dengan sebaik-baiknya. Berwaspadalah kepada musuh-musuh kita yang sentiasa berusaha untuk memesongkan setiap langkah kita ini. baik berupa serangan luaran dan juga dalaman kita sendiri. Apa yang saya ingin kongsikan di sini, beberapa isu hasil daripada pembacaan buku haraki di mana cuba membongkar masalah yang sering dihadapi gerakan Islam sepanjang zaman iaitu masalah dalaman yang mengganggu perjalanan gerakan Islam, di samping mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi berkaitan ahli dan pendukung gerakan Islam sendiri dan memberi suntikan baru kepada ahli untuk lebih komited dalam perjuangan dengan memahami tentang cabaran dan dugaan yang akan dihadapi.



Antara ancaman pertama iaitu : Al-FUTUR (terhenti dan melengah-lengah)

Pengertian 
Dari sudut bahasa :-
(1)   Terputus atau terhenti sesudah berjalan, atau diam sesudah bergerak.
(2)   Malas, menangguh, melengah-lengahkan sesudah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh.

Atasilah dengan :
  1. Menjauhkan diri dari melakukan maksiat sama ada yang besar ataupun yang kecil
  2. Berterusan melakukan ibadat harian
  3. Mengintai waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat
  4. Membebaskan diri dari begitu keterlaluan di dalam agama.
  5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah
  6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya
  7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan
  8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.
  9. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh yang berjihad dikalangan hamba Allah.
  10. Memberi hak kepada badan
  11. Menghiburkan diri dengan melakukan perlakuan yang harus.
  12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku sirah, sejarah dan biografi
  13. Sentiasa mengingati mati dan soal kubur
  14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka
  15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu
  16. Menerima Islam secara keseluruhan
  17. Melakukan muhasabah keatas diri dan mengkaji setiap masa

Rujukan:
Wabak sepanjang Jalan