Pages

Isnin, 17 Januari 2011

Percaya Kepada Ramalan Masa Hadapan

Mungkin antara kita tidak menyedari bahawa sesungguhnya kita semua turut terlibat dalam persoalan ramalan masa hadapan. Adakah kita sebagai manusia yang lemah ini boleh membuat ramalan seumpama itu? Itulah yang menjadi persoalan dalam diri ini.

Kalaulah anda melihat di muka-muka akhbar, majalah, di tv dan sebagainya media massa dan elektronik yang lain, anda mungkin terperasan dengan perkataan horoskop, rahsia tarikh lahir dan sebagainya. Itu semuanya adalah merujuk kepada ramalan masa hadapan.

Mengetahui perkara ghaib adalah hak mutlak Allah S.W.T.. Antara firman-Nya


“ Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja”[al-An’aam 6:59]

“Katakanlah, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”[al-Naml 27:65]

Rasulullah s.a.w sendiri pun tidak mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan setelah dikhabarkan Allah kepadanya. Hal ini turut dirakamkan dalam Al-Quran:

“Katakanlah(wahai Muhammad):Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali yang apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan”[al-A’raf 7:188]

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya)”[al-Jin 72:26-27]


Maka berhati-hatilah dengan persoalan masa hadapan ini, boleh merosakkan akidah kita umat Islam.
Ada sesetengah orang mengatakan ramalan-ramalan tarikh lahir dan sebagainya adalah berkaitan kajian sains sosial, kajian tingkahlaku manusia. Mungkin betul, tetapi kalau kita merenung sejenak, sebagai contohnya ramalan orang yang lahir pada bulan Januari, kalaulah dikira seluruh dunia, agak-agaknya berapa trillion orang yang terbabit dengan bulan Januari ini. Adakah memadai jika diambil sampel seramai 10 orang atau 20 orang atau 1000 orang untuk mengesahkan teori itu betul untuk sejumlah orang yang lahir pada bulan Januari. Itu tidak termasuk manusia yang sudah meninggal 50 tahun yang lepas dan bakal lahir nanti. Persoalan yang perlu dirungkaikan.

Cuba kita merenung sejenap,orang yang lahir pada hari dan tarikh yang sama, bukankah ada berpuluh-puluh ribu orang. Adakah semua mereka itu mempunyai perangai dan kelakuan yang sama? Adakah orang yang lahir sama hari dan tarikh dengan Dr Mahathir, Dato’ Najib, Nik Aziz, Obama, dan tokoh-tokoh yang lain termasuklah tokoh-tokoh Islam seperti Saidina Umar, Abu Bakar dan Rasulullah sendiri mempunyai kelakuan dan perangai yang sama? Sejarah pun tidak dapat membuktikan teori ini.

Apabila dibuat ramalan berdasarkan tarikh lahir, sudah tentu akan ada senarai sifat positif dan negatif seseorang apabila diramalkan. Hal tersebut kurang menyenangkan perhubungan antara kita dan mewujudkan prasangka. Contohnya kita tidak kenal pun orang tu, kenal sekadar tengok ramalan tarikh lahir sahaja. Sudah tentu akan timbul prasangka tertentu di hati. Dia ni pemalas dan sebagainya. Adakah Islam mengajar perkara seumpama ini? Tidak. Bagaimana kalau kita ambil tarikh lahir Rasulullah s.a.w., sudah tentu kita akan dapat tahu sifat dan perangai Rasulullah s.a.w., ada positif dan ada juga negatif. Boleh ke macam tu? Mana boleh.

Ada juga jenis ramalan berkaitan kerjaya. Sebagai contohnya setelah dibuat ramalan, dikatakan kita tidak akan berjaya dalam sesuatu bidang, contohnya perniagaan. Perlu ke kita percaya, padahal dalam Islam menyuruh kita berusaha bersungguh-sungguh dan selepas itu berserah pada-Nya. Islam juga mengatakan 9/10 rezeki adalah daripada perniagaan. Yang mana pilihan kita. Secara lebih memahaminya ramalan seolah-olah mengatakan kita ini adalah ahli neraka,erm..baik tak payah berusaha, masuk neraka juga. Macam itukah pendirian dalam agama kita?

Saya pernah cuba mengkaji satu kaedah ramalan berdasarkan tarikh lahir. Kaedah ini menggunakan konsep matematik, ada tambah, tolak, bahagi dan dibuat dalam bentuk segitiga. Sebagai ahli matematik, apabila mengeluarkan sebarang teori, teori tersebut perlu dibuktikan dan dihuraikan. Kenapa tambah, tolak, buat dalam bentuk segitiga dan sebagainya, tidak boleh ke kalau dibuat dalam bentuk segiempat ke, darab ke dan sebagainya, dan kenapa perlu buat seumpama itu. Persoalan-persoalan seperti ini perlu dibuktikan, bukan semata-mata keluarkan teori sahaja. Oleh sebab itulah, kadang-kadang saya tercari-cari tulisan kajian mana-mana professor berkaitan. Sehingga hari ini, masih tidak ketemuan.

Kadang-kadang ada juga secara kebetulan betul apa yang diramalkan. Contohnya warna. Kita dikatakan suka pada warna hitam dan membenci warna putih. Kita sendiri akui benar pada diri kita. Walaubagaimanapun, Islam mengajar memakai pakaian putih adalah sunnah Rasul dan memakainya memperoleh pahala sunat. Maka suka atau tidak, itulah, cubalah paksa menyukai warna putih. Itulah Islam. Suka atau tidak, ikutlah tuntutan agama dan syariat. Janganlah mengikut sangat nafsu dan kesukaan kita. Islam merangkumi segala aspek kehidupan. Dalam persoalan perniagaan, politik, pendidikan, kepimpinan dan sebagainya, semua umat Islam perlu memikul bersama. Maka sebab itulah persoalan bersungguh-sungguh dan berjihad perlu ada dalam setiap urusan kita dalam dunia ini. Janganlah terpengaruh dengan unsur-unsur ramalan ini, merugikan umat Islam sahaja.

Maka sebab itulah tiada makna pun untuk kita mempercayai ramalan-ramalan seumpama ini, bukan sahaja merosakkan akidah kita, tetapi juga melemahkan umat Islam kita sendiri. . Kenapa kita tidak fokuskan pembangunan jatidiri yang lain.Itulah salah satu propaganda musuh-musuh Islam. Sehingga ke saat ini, hal seumpama ini masih lagi berterusan, siap dengan ceramah ke sana sini. Maka waspadalah…