Pages

Jumaat, 4 November 2011

Jamaah Al-Muslimin; Suatu Penjelasan


Ku teliti satu persatu helaian buku daripada pusat penyelidikan UIAM, karangan Dr Jamil Hashim dan Dr Sulaiman Ibrahim ini. memang banyak manfaatnya bagi orang-orang yang ingin mencari suatu pegangan. Ulasan yang dikemukakan berbentuk ilmiah dan akademik dengan menampilkan pendapat-pendapat ulamak; baik ulamak bersifat haraki dan bukan haraki. Apa-apa pun pendapat ulamak ini adalah rahmat kepada umat Islam jika sekiranya kita mengambil pendirian menghormati pendapat semua mereka ini. Walaubagaimanapun, kita akui ulamak juga tidak terkecuali daripada membuat kesilapan. Mungkin pendapatnya hari ini amat berbeza dengan pendapatnya pada 2,3 tahun yang lepas. Semuanya bergantung kepada situasi semasa umat Islam. Buku yang saya baca ini bertajuk “Konsep Jamaah Al-Muslimin Dalam Pemikiran Islam”.

Isu jamaah dan jamaah al-muslimin ini adalah isu bersifat semasa dan kontemporari dalam medan dakwah Islamiyyah yang banyak mengundang polemik antara para pendakwah. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri berkaitan konsep jamaah dan jamaah al-muslimin yang mungkin tidak disenangi dan dipersetujui oleh kumpulan lain sehingga menimbulkan keresahan dikalangan warga pendakwah. Antara istilah yang mengundang kepada perkelahian antara para pendukung dakwah adalah seperti istilah jamaah itu sendiri, konsep al-firqah al-najiyah dan al-taifah al-qaimah. Masing-masing setiap kumpulan mendakwa merekalah yang menepati ciri-ciri tersebut dan disinilah memungkinkan berlakunya sedikit kekeruhan antara para pendukung dakwah.

Al-firqah al-najiyah bermaksud kumpulan atau puak atau mazhab yang berjaya di sisi Allah s.w.t di akhirat nanti. Asas kepada kefahaman ini adalah bersumber pada hadis Rasul s.a.w. (al-Tirmizi,kitab al-iman,bersifat hasan gharib) bersabda “sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 agama,manakala umatku akan berpecah kepada 73 agama, semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Mereka bertanya,siapa ya Rasulullah? Baginda bersabda; iaitu yang berada atas ajaran aku dan para sahabatku.” Dalam hadis yang seumpama,dikatakan akan berpecah kepada 73 kumpulan. Semuanya ke neraka kecuali satu; iaitu jamaah.

Al-Taifah al-qaimah atau al-taifah al-mansurah adalah merujuk kepada hadis Rasul s.a.w yang mana bersabda,”Selama-lamanya akan ada suatu kumpulan daripada umatku yang bangkit menegakkan urusan Allah (agama Allah). Mereka tidak akan dimudharatkan oleh orang yang menghina mereka atau menentang mereka sehingga datang perintah Allah sedangkan mereka dalam keadaan zahir atas manusia.” (Al-Muslim,Al-imarah.Ahmad,musnad al-syamiyyin).

Setelah meneliti perbahasan,penulis telah menyimpulkan beberapa perkara. Antaranya:

  1. Maksud al-firqah al-najiyah,taifah mansurah dan jamaah ialah umat Islam seluruhnya yang berpegang dengan sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda r.a. Mereka juga digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  2. Segala kumpulan-kumpulan umat Islam sekarang termasuklah jamaah-jamaah Islam, harakah dan gerakan Islam, tariqat-tariqat sufiyyah, parti-parti Islam adalah termasuk dalam rumpun keluarga Ahli Sunnah Wal Jamaah. Setiap kumpulan ini tidak boleh mendakwa mereka adalah firqah najiyah atau taifah mansurah atau al-jamaah yang dimaksudkan hadis. Semua umat Islam yang tidak menyertai mana-mana kumpulan ini tetapi berpegang teguh dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah seorang muslim dan tetap menjadi anggota firqah najiyah atau taifah mansurah atau al-jamaah yang dimaksudkan hadis.
  3. Ahli Sunnah Wal Jamaah atau firqah najiyah, taifah mansurah dan al-jamaah adalah suatu manhaj aqidah, syariat dan akhlak. Mereka bukannya kumpulan tertentu dengan nama tertentu, di tempat atau negeri tertentu.